
Sekatan Kepentingan
Dalam urusan pindahmilik dan jualbeli hartanah suatu perkara yang perlu diambil tahu adalah Sekatan Kepentingan.
Ia merupakan batasan atau sekatan yang dikenakan keatas suatu hartanah demi menjaga hak dan kepentingan tuan punya @ owner.
Jika suatu hartanah itu memiliki sekatan kepentingan, ia akan dinyatakan di dalam geran tanah tersebut.
“Tanah yang diberi milik ini tidak boleh dipindah milik, dipajak atau digadai melainkan dengan kebenaran Pihak Berkuasa Negeri”
1. Semua jenis hakmilik tanah yang terdapat sekatan kepentingan hakmilik perlu membuat permohonan kebenaran longgar sekatan kepentingan.
2. Sekatan Kepentingan ini adalah pendekatan Pihak Berkuasa Negeri (PBN) untuk mengawal urusan pindahmilik tanah tertakluk kepada sekatan-sekatan yang difikirkan sesuai oleh PBN selaras dengan peruntukan Seksyen 120, Kanun Tanah Negara (KTN) 1965.
Contoh-contoh Sekatan Kepentingan.
1) Sekatan Tanah Kurnia.
“Tanah yang dikurniakan ini tidak boleh dijual, dipajak, dicagar, digadai atau dipindahmilik dengan apa cara sekalipun, termasuk dengan cara menggunakan segala surat perjanjian yang bertujuan untuk melepaskan atau menjual tanah ini tanpa kebenaran Pihak Berkuasa Negeri”.
Sekatan ini kebiasaan dikenakan dalam hakmilik kurniaan/ pemberimilikan kepada individu atau orang perseorangan, syarikat, pertubuhan dan agensi-agensi kerajaan seperti Yayasan Warisan Johor (YPJ), Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ), Perbadanan Islam Johor Holdings (PIJH) dan Johor Corporation (JCorp).
Sebarang permohonan pindahmilik tanah perlulah mendapat kelulusan kebenaran Longgar Sekatan daripada Pihak Berkuasa Negeri. Permohonan perlu dibuat di Pejabat Tanah Daerah bagi hakmilik Daerah dan di Pejabat Tanah dan Galian Johor bagi hakmilik Pendaftar menggunakan Borang PM1 –PM4 sama ada antara individu kepada individu dan antara syarikat kepada syarikat atau sebaliknya.
2) Sekatan Kepentingan Lot Bumiputera.
“Tanah yang diperuntukkan untuk Bumiputera ini apabila sahaja bertukar miliknya kepada seorang Bumiputera/Syarikat Bumiputera maka tidak boleh terkemudian daripada itu dijual, dipajak atau dipindahmilik dengan apa cara sekalipun kepada orang yang bukan Bumiputera/ bukan Syarikat Bumiputera tanpa kebenaran Pihak Berkuasa Negeri”.
Pengenaan sekatan ini dikenakan kepada pemajuan projek pembangunan (perumahan/perdagangan/ bercampur).Dasar ini dikenakan untuk kepentingan Bumiputera sebanyak sehingga 40%.
Di Negeri Johor, sekatan ini diendoskan dalam hakmilik.
Bagi pindahmilik seumpama ini daripada individu kepada individu bukan bumiputera, pemohon perlu mematuhi syarat untuk pengiklanan dalam akhbar tiga (3) kali dalam masa tiga (3) barulah kemudiannya diberi pertimbangan oleh PBN sama ada untuk diluluskan atau sebaliknya.
3) Sekatan Kepentingan Rumah/ Kedai Kos Rendah/ Sederhana rendah/ Rumah Mampu Milik.
Pengenaan sekatan ini kepada pemajuan projek pembangunan yang melibatkan komponen di atas dan juga sebagaimana Dasar Perumahan Rakyat Johor dalam Pekeling Am Johor Bil.1, Tahun 2014. Permohonan kebenaran pindahmilik tanah bagi kategori rumah kedai kos rendah/ kos sederhana rendah hanya boleh dipertimbangkan jika disertakan dengan surat persetujuan dari Pejabat Setiausaha Kerajaan Bahagian Perumahan Johor.
4) Sekatan Kepentingan Warganegara Asing.
“Tanah yang terkandung di dalam hakmilik ini tidak boleh dijual atau dipindahmilik dengan apa cara sekalipun kepada bukan Warganegara/ syarikat asing tanpa persetujuan Pihak Berkuasa Negeri ”.
Pengenaan sekatan ini adalah bersifat sekatan perundangan sebagaimana yang dinyatakan dalam Kanun Tanah Negara, Seksyen 433 (b).Pengenaan sekatan ini adalah terpakai untuk semua jenis tanah.Sebarang permohonan perolehan hartanah perlulah mendapat kebenaran Pihak Berkuasa Negeri (PBN).
Dasar semasa yang digunapakai dalam urusan permohonan kebenaran perolehan hartanah oleh kepentingan asing ialah Pekeliling PTG Bil.2 Tahun 2014 – Dasar Baru Perolehan Hartanah oleh Kepentingan Asing di Negeri Johor.
Permohonan hendaklah dibuat di PTG Johor menggunakan Borang KA1-KA6 melibatkan individu, syarikat, pemaju dan permohonan pajakan. Bayaran permohonan sebanyak RM1,000.00 dikenakan bagi setiap hakmilik. Bayaran kelulusan sebanyak 2% dari harga jualan atau RM20,000.00 mana yang lebih tinggi dikenakan bagi setiap hakmilik.
Kepentingan asing dibenarkan membeli dan memiliki unit-unit hartanah yang telah mendapat pelepasan daripada SUK Bahagian Perumahan dan juga Lot Bumiputera lain dengan kebenaran Pihak Berkuasa Negeri.
Namun begitu, tidak semua hartanah di Negeri Johor boleh dimiliki oleh kepentingann asing.
Berikut adalah hartanah yang tidak boleh dimiliki oleh kepentingan asing.
1. Unit rumah kediaman/kedai kategori Kos Rendah dan Kos Sederhana Rendah.
2. Kediaman jenis teres 1 tingkat dan 1½ tingkat.
3. Kedai atau kedai/pejabat 1 tingkat atau 2 tingkat.
4. Hartanah yang diperuntukkan kepada `Bumiputera’ kecuali telah mendapat pelepasan daripada SUK Bahagian Perumahan.
5. Tanah yang dikeluarkan `Perintah Jualan’ oleh mahkamah/ tanah lelongan awam (Seksyen 256-260 KTN).
6. Hartanah di atas `Tanah Rizab Melayu’.
6. Gerai atau Bengkel Perkhidmatan.
7. Tanah Pertanian berasaskan konsep `Homestead’.
8. Hartanah yang diwartakan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005.
PEROLEHAN TANAH KATEGORI PERTANIAN
1. Kepentingan asing boleh memohon kebenaran untuk MEMAJAK SAHAJA BUKAN MEMILIKI tanah kategori pertanian bagi tujuan berikut :
2. Menjalankan aktiviti pertanian komersil menggunakan teknologi tinggi dan moden, atau;
3. Menjalankan projek agro pelancongan, atau;
4. Menjalankan aktiviti pertanian atau industri berasaskan pertanian bagi menghasilkan produk untuk eksport.
5. Tempoh pajakan 30 tahun dan ke atas.
6. Didaftarkan di bawah sebuah syarikat tempatan.
7. Mengemukakan ulasan bertulis dari Unit Perancang Ekonomi Johor dan Jabatan Pertanian Negeri Johor.
Terima Kasih kerana sudi membaca.
kredit, Laman Rasmi Pentadbiran Tanah Johor
Perlukan khidmat Ejen Hartanah Berdaftar untuk membantu anda jual rumah?
Kami akan bantu buat MARKET VALUE, menjalankan PEMASARAN hinggalah menemui pembeli.
Hubungi saya Hishamuddin (Encik IZI) klik ⬇️⬇️⬇️